Wednesday 2 March 2011

Bahasa Dalam Persepsi Masyarakat Melayu

Orang Melayu kaya dengan kata-kata hikmat yang dilafazkan untuk menyampaikan mesej yang dalam tetapi halus. Kalau kita hendak memahami jiwa orang Melayu, salah satu cara adalah dengan meneliti ungkapan-ungkapan pepatah dan peribahasa yang sudah lekat di mulut masyarakat, dan digunakan dalam percakapan sehari-hari dan dalam tulisan-tulisan mereka.

Beberapa kata hikmat dan ungkapan bijak pandai, apabila diteliti, memberi gambaran yang jelas tentang persepsi orang Melayu terhadap bahasa.

Yang paling terkenal ialah cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa". Cogan kata ini menjadi laungan para pejuang kebangsaan pada zaman sebelum merdeka. Di samping memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah, mereka juga memperjuangkan bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa kebangsaan tunggal dan bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian.

Apakah maksud "bahasa jiwa bangsa"? Ungkapan ini sebenarnya menekankan peranan penting yang dimainkan oleh bahasa bagi sesuatu bangsa. Yang memberi identiti kepada sesuatu bangsa ialah bahasanya. Misalnya, kita mengenal orang Inggeris melalui bahasa Inggeris, orang Jepun melalui bahasa Jepun dan orang Arab melalui bahasa Arab. Dengan kata lain, bahasa ialah jiwa sesuatu bangsa. Tamadun dan budaya bangsa itu tersimpan dan dibawa turun-temurun melalui bahasa, sama ada dalam bentuk lisan mahupun bentuk tulisan.

Berkaitan dengan idea ini ialah kata orang tua-tua yang berbunyi, "Hilang bahasa lenyaplah bangsa". Ini membawa erti bahawa jika sesuatu bahasa itu tidak lagi penting dan digunakan, maka identiti dan imej bangsa itu lama-kelamaan akan terjejas juga. Maruahnya berkurangan kerana terpaksa bergantung pada bahasa orang lain. Bahasa Latin, misalnya, yang pada suatu waktu dahulu penting dan berpengaruh, kini sudah pudar kerana tiada penutur aslinya.

Yang penting disedari ialah bahawa segala buah fikiran dan perasaan sesuatu bangsa diungkapkan melalui bangsa. Daripada pengungkapan ini lahirlah khazanah persuratan yang dikaitkan secara langsung dengan nadi dan jiwa bangsa itu.

Bahasa Melayu misalnya, dikenal melalui pantun dan syair, melalui cerita-cerita penglipur lara, karya-karya hikayat seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Raja-Raja Pasai dan buku-buku yang bersifat sejarah seperti Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis. Jika lenyap bahasa Melayu, maka putuslah tradisi penulisan dalam bentuk-bentuk yang tersebut di atas. Walau bagaimana cekap sekalipun orang Melayu berbahasa Inggeris, tradisi bahasa Inggeris tidak dapat menghasilkan pantun dan syair, kerana bentuk-bentuk ini hanya berjaya dalam bahasa Melayu. Itulah yang dimaksudkan dengan "lenyaplah" bangsa Melayu.

Ini berkait pula dengan satu lagi ungkapan yang hampir sama maknanya, iaitu "Bahasa menunjukkan bangsa". Kadangkala ungkapan ini disebut dalam bentuk pantun, seperti yang berikut :

Pondok menjadi bangsal,
Bangsal ada di hujung desa;
Usul menunjukkan asal,
Bahasa menunjukkan bangsa.

Dalam sebuah pantun yang lain pula, perkaitan bangsa dengan bahasa turut ditekankan. Dua baris maksudnya berbunyi :

Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Sesungguhnya nenek moyang kita penuh dengan kata-kata bernas untuk mengaitkan hubungan yang erat antara bahasa dengan bangsa.

Dalam pengertian yang lebih luas, perkataan bahasa dikaitkan dengan "budi bahasa", iaitu tingkah laku. Ukuran diri seseorang kerap diperhatikan dari segi perlakuan dan budi bahasanya. Kata orang tua-tua,

Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak dijual beli.

Peringatan seperti ini dilemparkan kepada anak-anak muda agar pandai membawa diri dan sentiasa berlaku sopan. Sesungguhnya kebijaksanaan nenek moyang kita dahulu amat ketara. Bagi saya yang paling berkesan dan indah ialah rangkap dua baris yang berbunyi :

Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa.

Kita yang telah berjinak-jinak dengan selok-belok bahasa Melayu dapat menikmati keindahan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tetapi jikalau kita belum lagi berkenalan dengan bahasa kita, kita tidak dapat menghayatinya. Kata orang tua-tua, "tak kenal maka tak cinta". Marilah kita berkenalan dengan bahasa kebangsaan kita. Dengan demikian, mungkin kita akan mula mencintai bahasa itu.

(Dipetik daripada : 'Yang Indah Itu Bahasa" Jilid 1, Nik Safiah Karim, Berita Harian Sdn. Bhd, 1999)

No comments:

Post a Comment