Showing posts with label status. Show all posts
Showing posts with label status. Show all posts

Saturday, 22 January 2011

Tulisan jawi dan bahasa Melayu



Tulisan Jawi (توليسن جاوي) ialah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi ialah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Nama-nama hari dalam tulisan Jawi
Isnin اثنين
Selasa ثلاث
Rabu رابو
Khamis خميس
Jumaat جمعة
Sabtu سبتو
Ahad احد

Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.

Kini amnya, tulisan jawi terhad penggunaannya dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi agama Islam, seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

Thursday, 13 January 2011

Penggunaan bahasa Melayu

Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya, bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dengan bahasa Melayu Palembang, Jambi dan Bengkulu. Bahasa ini juga digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat, seperti di Pulau Pinang dan Melaka. Walau bagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris.

Penggunaan bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada tahun 1968, tetapi bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali dalam kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, bahasa Melayu Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan bahasa Indonesia selain bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan.

Di Timor Leste, sekarang terlepas daripada Indonesia menjadi negara Timor Leste, bahasa Melayu Indonesia diterima sebagai 'bahasa bekerja'. Di Singapura, bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaiatu bahasa Inggeris, Cina, India dan Melayu). Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Patani), tetapi tidak memperoleh sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

Di negara kita, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa Kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri. Seperti yang kita maklumi, sebelum merdeka, Malaya atau Tanah Melayu yang ditadbir oleh British menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tetapi setelah mencapai kemerdekaan, maruah bangsa perlu dipelihara dan bangsa yang bermaruah mesti mempunyai bahasa kebangsaan sendiri.

Oleh sebab itu, Perdana Menteri Malaysia (Persekutuan Tanah Melayu ketika itu) pertama, YAB Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa...
"kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Untuk kepentingan kebangsaan, bahasa penjajah perlu digantikan dengan satu bahasa peribumi... "

Wednesday, 12 January 2011

bahasa Melayu bahasa ilmu...

Berapa ramaikah di antara kita yang tahu bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang penting di rantau Kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Ia bukan sahaja dipertuturkan oleh jutaan penduduk di rantau ini, malah ia juga pernah melalui sejarah hidup yang panjang sejak kehadirannya puluhan abad yang lalu.

Jika dibaca penulisan oleh para pengkaji tempatan mahupun pengkaji luar, asal-usul dan perkembangan bahasa Melayu sememangnya menawarkan satu tajuk kajian dan perbincangan yang amat menarik. Hal ini demikian kerana ia berkait rapat bukan sahaja dengan asal-usul bangsa Melayu, tetapi juga sejarah asal usul dan perkembangan tamadun manusia di dunia ini.
Bahasa sebagai alat perhubungan dan komunikasi utama antara manusia amat berkait rapat dengan sejarah dan ketamadunan manusia itu sendiri.
Sejak abad ke-2M lagi, bahasa Melayu purba dikatakan telah pun wujud iaitu di Champa, Vietnam. Pada abad ke-4M, beberapa prasasti atau batu bersurat dalam bahasa Melayu kuno ditemui di Dong Yen Chau, Teluk Tourane, Vietnam serta beberapa prasasti lagi yang ditemui di abad ke-7M di Sumatera, Jawa, Seberang Perai, Kedah, selatan Thailand, Filipina, Vietnam dan Kalimantan.

Penemuan prasasti bertarikh 1303M di Kuala Berang, Terengganu dengan bentuk tulisan Melayu-jawi serta kata-kata pinjaman bahasa Arab membawa tahap baru dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Ini disusuli penemuan prasasti di antara abad 14-18M di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Sumatera, Brunei dan Kalimantan serta manuskrip pada kulit-kulit kambing, gading, kulit kayu, kain dan juga kertas.

Bermula awal abad ke-19, orang-orang barat datang membawa bersama pengaruh bahasa luar dan teknologi moden seperti mesin pencetak dan kapal api. Penerbitan pusat buku, akhbar dan majalah berbahasa Melayu dengan tulisan jawi dan rumi di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura, menyumbang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.
Banyak sekolah Melayu juga dibuka. Pembelajaran semakin meluas dalam kalangan penduduk, tidak terhad pada lingkungan istana sahaja. Bahasa Melayu mula mencapai tahap bahasa moden dengan perbendaharaan kata-kata, istilah dan gaya penulisan yang baru. Bahasa Melayu dikatakan bertapak dengan kukuh pada abad ini.

Dengan melihat kepada sejarah hidupnya yang panjang bermula sejak abad ke-2M dan masih wujud sehingga ke hari ini, mustahil bahasa Melayu tidak pernah menjadi bahasa yang penting atau mengecapi kegemilangan dan keagungannya yang tersendiri.