Tuesday, 29 March 2011

Makna Perkataan : Hubungan di antara Perkataan dan Benda


Di antara perkataan dan benda pada umumnya tidak ada hubungan yang mutlak.
Hubungan itu adalah arbitrari, iaitu bergantung kepada tanggapan yang ditentukan oleh sesuatu kumpulan penutur bahasa atau komuniti bahasa.

Perkataan yang dilambangkan oleh bunyi [yu] misalnya membawa makna yang berlainan bagi penutur bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Makna yang berlainan itu telah ditentukan oleh kedua-dua kumpulan penutur itu.

Walau bagaimanapun tedapat sesetengah perkataan yang menunjukkan hubungannya dengan benda yang dirujuknya. Hubungan ini timbul kerana perkataan itu diwujudkan berdasarkan kepada :

1. Bentuk bunyi benda itu sendiri.

Tiruan kepada bunyi dianggap sebagai satu dasar yang primitif dalam perwujudan perkataan bagi benda yang bersangkutan. Dengan demikian dikatakan , ada kesamaan di antara benda dengan namanya. Tiruan kepada bunyi benda itu kemudiannya menduduki taraf "kata" apabila penutur-penutur sesuatu bahasa itu menggunakan bunyi itu sebagai rujukan kepada nama benda yang menghasilkan bunyi tersebut. Sebagai contoh :

- Perkataan "terkukur" ialah nama yang diberikan kepada burung yang mengeluarkan bunyi "te ku ku".
- Perkataan "berkokok" asanya dari tiruan bunyi ayam jantan yang menghasilkan bunyi "kok, kok".
- Begitu juga dengan "menguak", "mengembek", mengiau", "menggonggong", "mengaum", dan sebagainya. Perkataan-perkataan itu asalnya berpunca daripada tiruan manusia kepada bunyi lembu (uak), bunyi kambing (embek), bunyi kucing (miau), bunyi anjing ("ong, ong") dan bunyi harimau (aum).

2. Nama orang yang mencipta atau menemui sesuatu.
Terdapat perkataan-perkataan yang berasal daripada nama orang, iaitu orang-orang yang menjadi penemu atau pencipta sesuatu. Kata itu kemudiannya menjadi nama umum yang durujukkan kepada sesuatu.

Sebagai contoh, perkataan "boikot" sebenarnya berasal daripada nama seorang Inggeris yang menjadi tuan tanah. Orangnya garang dan bengis. Namanya yang sebenar ialah Boycott.

Begitu juga dengan "sandwich". "Sandwich" sebenarnya ialah seorang bangsawan Inggeris yang suka berjudi. Oleh sebab terlalu asyik berjudi, dia tidak pulang makan dan setiap hari hanya membawa roti untuk makan tengah hari. Jadi roti "sandwich" sebenarnya berasal daripada nama manusia "Sandwich" itu tadi.

Satu contoh lagi ialah "oskar". "Oskar" berasal daripada nama seorang peminat seni, iaitu "Oscar".

Contoh-contoh lain misalnya, dapat kita lihat pada perkataan-perkataan seperti kasut Bata, pen Parker, nahu Za'ba, skala Likert, taksonomi Blooom, teori Darwin, dan lain-lain lagi. Perkataan-perkataan yang berhuruf condong itu merupakan orang-orang yang mencipta atau menemui benda-benda tertentu yang dinyatakan atau tertera sebelumnya.


3. Nama tempat asal benda itu.

Terdapat juga nama-nama benda yang berasal daripada nama tempat asalnya, misalnya kucing siam dan ikan sepat siam, asalnya dari Siam; Ayam goreng Kentucky, berasal dari Kentucky di Amerika Syarikat. Begitu juga kapur barus yang berasal dari Barus, iaitu nama sebuah tempat di Sumatera Barat. Perkataan sardin pula ada hubungan dengannya dengan nama pulau di Italia, iaitu Pulau Sardinia. Nama burung kenari berasal dari nama Pulau Kanari di Afrika. Perkataan magnet berasal dari nama tempat, iaitu Magnesia dan perkataan cologne juga berasal daripada nama tempat, iaitu Cologne di Jerman Barat.

Oleh sebab perkataan-perkataan itu telah menjadi perkataan umum, maka penutur-penutur tidak menyedari bahawa perkataan tersebut berasal dari nama tempat.


4. Bahan asal benda itu diperbuat.

Tidak banyak nama-nama benda yang berasal daripada nama bahan asal benda itu diperbuat yang telah sebati keadaannya, dalam bahasa Melayu. Kebanyakan nama itu disebut dalam bentuk rangkaian kata-kata sahaja, seperti tepung beras (tepung yang diperbuat daripada beras), tikar pandan (tikar yang diperbuat daripada pandan), wang perak (wang yang diperbuat daripada perak) dan contoh-contoh seperti kain sutera, kasut getah,beg kertas, pinggan kaca dan lain-lain.

Hanya terdapat satu contoh yang selalu diberikan, yang menunjukkan bahawa nama benda itu telah bulat-bulat atau sepenuhnya diambil daripada nama asal benda berkenaan. Nama itu ialah guni. Guni sebenarnya ialah serat daripada sejenis tumbuhan yang digunakan untuk membuat karung. Karung itu juga disebut orang sebagai guni. Jadi nama "guni" yang dirujukkan kepada "karung" itu memang sepenuhnya berdasarkan kepada nama bahan asal benda itu diperbuat.


bahasa Melayu, bahasa yang dinamik....


Sunday, 20 March 2011

Syair Bunga Raya

Namanya teralu besar mulia,
rupa tiada berapa bahagia,
berjenis-jenis bangsanya dia,
merah putih warnanya cahaya.

Selalu dilihat sehari-hari,
baik pagi atau suru,
demikian juga tengah hari,
diam tiada undur diri.

Ada selapis ada dua,
ke sana ke mari dapat dibawa,
sesetengahnya beroleh suka tertawa,
bukannya jenis juadah halwa

Nama masyhur kerana apa,
bukan pula kerana rupa,
ada beribu tiada berbapa,
kesukaan budak terkam terpa.

Dari kecil kuncup terjenguk,
mudanya pula kembang tercongok,
tua kelak daif di tengkuk,
malanya terjun lengak-lenguk.

(O.T.Dussek, Teka-teki I)

Saturday, 5 March 2011

Rajin Membaca Cekap Berbahasa


Catatan ini khusus untuk anak-anak didikku yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini.

Kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini, mulalah dengan azam dan tekad untuk berusaha sedaya upaya. Langkah yang paling wajar dalam menghadapi peperiksaan adalah dengan membuat persediaan awal. Tidak ada gunanya bermain-main dahulu, kemudian bertungkus-lumus pada saat-saat yang akhir. Proses pembelajaran memerlukan waktu yang panjang, terutamanya bagi pembelajaran bahasa.

Menguasai bahasa mengambil masa yang lama. Aspek-aspek bahasa tidak boleh dihafalkan dalam masa dua tiga minggu. Menurut Prof. Dato' Dr. Nik Safiah Karim, bahasa diibaratkan suatu tabiat, yang perlu dipupuk, dibelai dan dibaja senantiasa. Proses ini memerlukan waktu. Oleh itu, jikalau anda hendak menjadi seorang pelajar yang pandai berbahasa Melayu, yang dapat menggunakan bahasa tersebut bukan sahaja mengikut peraturan-peraturannya yang betul, tetapi juga yang memperlihatkan unsur-unsur keindahan, maka hendaklah anda membuat persiapan-persiapan awal.

Satu cara yang amat berkesan adalah dengan menjadikan tabiat membaca satu amalan harian, iaitu membaca contoh-contoh penggunaan bahasa yang baik, betul dan indah. Carilah bahan-bahan yang sesuai dan jadikanlah tabiat membaca sebagai rekreasi harian.

Terdapat berbagai-bagai sebab seseorang itu membaca. Satu sebab yang amat berkait dengan dunia seorang pelajar ialah membaca buku untuk mencari ilmu pengetahuan, terutama daripada buku-buku teks. Membaca jenis ini wajib dilakukan oleh semua pelajar.

Satu sebab lagi orang membaca, ialah membaca untuk rekreasi. Dalam konteks ini kita membaca bukan semata-mata untuk mengutip ilmu yang ada dalam bahan yang dibaca, walaupun ini tetap berlaku setiap kali kita membaca. Membaca untuk rekreasi bermaksud, kita membaca untuk kegembiraan, untuk menghayati bahan yang dibaca.

Walau apapun tujuannya kita membaca, yang pasti dengan aktiviti membaca menjadikan penguasaan bahasa kita baik dan bertambah cekap....

Memupuk tabiat membaca tidaklah terlalu sukar. Yang penting, sikap anda harus positif. Anda membaca kerana mahu membaca, tidak kerana disuruh oleh guru atau ibu bapa anda. Selain itu, anda berasa gembira sewaktu membaca. Dengan kata lain, bahan-bahan yang anda baca itu menarik dan dapat anda hayati. Tidak ada yang menjemukan. Jikalau terdapat bahan yang menjemukan, tinggalkan sahaja bahan itu, lalu cari yang lain yang lebih menarik.

Bahasa yang digunakan untuk menulis bahan itu juga harus menarik. Anda terpesona dengan pilihan kata-kata tertentu; anda tertarik dengan cara pengarang menghuraikan sesuatu perkara atau peristiwa. Ada kalanya anda begitu tertarik sehingga mahu membaca sesuatu petikan itu sekali lagi, dan seterusnya untuk kali ketiga.

Demikianlah, jikalau perkara-perkara di atas berlaku pada diri anda, bolehlah dikatakan anda sudah separuh jalan dalam proses pemupukan tabiat membaca. Teruskanlah usaha ini; sudah pasti anda akan mendapat manfaat yang besar. Apabila itu berlaku, anda juga sudah separuh jalan ke arah penguasaan bahasa yang baik.

Yang pasti, bahasa yang baik dapat dikuasai melalui tabiat membaca....



Wednesday, 2 March 2011

Bahasa Dalam Persepsi Masyarakat Melayu

Orang Melayu kaya dengan kata-kata hikmat yang dilafazkan untuk menyampaikan mesej yang dalam tetapi halus. Kalau kita hendak memahami jiwa orang Melayu, salah satu cara adalah dengan meneliti ungkapan-ungkapan pepatah dan peribahasa yang sudah lekat di mulut masyarakat, dan digunakan dalam percakapan sehari-hari dan dalam tulisan-tulisan mereka.

Beberapa kata hikmat dan ungkapan bijak pandai, apabila diteliti, memberi gambaran yang jelas tentang persepsi orang Melayu terhadap bahasa.

Yang paling terkenal ialah cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa". Cogan kata ini menjadi laungan para pejuang kebangsaan pada zaman sebelum merdeka. Di samping memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah, mereka juga memperjuangkan bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa kebangsaan tunggal dan bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian.

Apakah maksud "bahasa jiwa bangsa"? Ungkapan ini sebenarnya menekankan peranan penting yang dimainkan oleh bahasa bagi sesuatu bangsa. Yang memberi identiti kepada sesuatu bangsa ialah bahasanya. Misalnya, kita mengenal orang Inggeris melalui bahasa Inggeris, orang Jepun melalui bahasa Jepun dan orang Arab melalui bahasa Arab. Dengan kata lain, bahasa ialah jiwa sesuatu bangsa. Tamadun dan budaya bangsa itu tersimpan dan dibawa turun-temurun melalui bahasa, sama ada dalam bentuk lisan mahupun bentuk tulisan.

Berkaitan dengan idea ini ialah kata orang tua-tua yang berbunyi, "Hilang bahasa lenyaplah bangsa". Ini membawa erti bahawa jika sesuatu bahasa itu tidak lagi penting dan digunakan, maka identiti dan imej bangsa itu lama-kelamaan akan terjejas juga. Maruahnya berkurangan kerana terpaksa bergantung pada bahasa orang lain. Bahasa Latin, misalnya, yang pada suatu waktu dahulu penting dan berpengaruh, kini sudah pudar kerana tiada penutur aslinya.

Yang penting disedari ialah bahawa segala buah fikiran dan perasaan sesuatu bangsa diungkapkan melalui bangsa. Daripada pengungkapan ini lahirlah khazanah persuratan yang dikaitkan secara langsung dengan nadi dan jiwa bangsa itu.

Bahasa Melayu misalnya, dikenal melalui pantun dan syair, melalui cerita-cerita penglipur lara, karya-karya hikayat seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Raja-Raja Pasai dan buku-buku yang bersifat sejarah seperti Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis. Jika lenyap bahasa Melayu, maka putuslah tradisi penulisan dalam bentuk-bentuk yang tersebut di atas. Walau bagaimana cekap sekalipun orang Melayu berbahasa Inggeris, tradisi bahasa Inggeris tidak dapat menghasilkan pantun dan syair, kerana bentuk-bentuk ini hanya berjaya dalam bahasa Melayu. Itulah yang dimaksudkan dengan "lenyaplah" bangsa Melayu.

Ini berkait pula dengan satu lagi ungkapan yang hampir sama maknanya, iaitu "Bahasa menunjukkan bangsa". Kadangkala ungkapan ini disebut dalam bentuk pantun, seperti yang berikut :

Pondok menjadi bangsal,
Bangsal ada di hujung desa;
Usul menunjukkan asal,
Bahasa menunjukkan bangsa.

Dalam sebuah pantun yang lain pula, perkaitan bangsa dengan bahasa turut ditekankan. Dua baris maksudnya berbunyi :

Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Sesungguhnya nenek moyang kita penuh dengan kata-kata bernas untuk mengaitkan hubungan yang erat antara bahasa dengan bangsa.

Dalam pengertian yang lebih luas, perkataan bahasa dikaitkan dengan "budi bahasa", iaitu tingkah laku. Ukuran diri seseorang kerap diperhatikan dari segi perlakuan dan budi bahasanya. Kata orang tua-tua,

Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak dijual beli.

Peringatan seperti ini dilemparkan kepada anak-anak muda agar pandai membawa diri dan sentiasa berlaku sopan. Sesungguhnya kebijaksanaan nenek moyang kita dahulu amat ketara. Bagi saya yang paling berkesan dan indah ialah rangkap dua baris yang berbunyi :

Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa.

Kita yang telah berjinak-jinak dengan selok-belok bahasa Melayu dapat menikmati keindahan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tetapi jikalau kita belum lagi berkenalan dengan bahasa kita, kita tidak dapat menghayatinya. Kata orang tua-tua, "tak kenal maka tak cinta". Marilah kita berkenalan dengan bahasa kebangsaan kita. Dengan demikian, mungkin kita akan mula mencintai bahasa itu.

(Dipetik daripada : 'Yang Indah Itu Bahasa" Jilid 1, Nik Safiah Karim, Berita Harian Sdn. Bhd, 1999)

Sunday, 30 January 2011

Minggu Bahasa Kebangsaan

51 tahun yang lalu, pada tarikh 30 Januari 1960, Pelancaran Minggu Bahasa Kebangsaan yang pertama telah diadakan. Pelancaran ini telah dilakukan oleh Tuan Syed Nasir Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Minggu Bahasa Kebangsaan. Pada ketika itu, usaha-usaha menggalakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan sentiasa diberi keutamaan. Pada peringkat awal usaha ini telah dijalankan dengan mengadakan Program Minggu Bahasa Kebangsaan.

Minggu Bahasa Kebangsaan ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan semua rakyat supaya menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam kehidupan seharian, menunjukkan kepada dunia bahawa kita sebagai satu bangsa yang merdeka mempunyai satu bahasa kebangsaan yang difahami oleh seluruh rakyat daripada pelbagai keturunan.

Acara-acara minggu bahasa ini dijalankan dalam dua bentuk, iaitu acara umum yang ditujukan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala lapangan. Yang kedua ialah peraduan-peraduan untuk menimbulkan keinginan menyertai dalam penggunaan dan perkembangan bahasa itu. Pelaksanaan program dijalankan dalam tiga peringkat, iaitu daerah, negeri dan kebangsaan.

Antara cara yang dijalankan, seperti menampal poster, cogan kata, iklan, filem serta mengadakan peraduan seperti syarahan, bahas, melukis poster, mengarang dan sebagainya. Usaha-usaha ini telah mendatangkan kesan yang memberangsangkan.

Sumber : 365 Hari Dalam Sejarah Malaysia - Jilid 1

Thursday, 27 January 2011

Bahasa dan Kanak-kanak


Bahasa ialah alat yang digunakan oleh manusia untuk berhubung dengan manusia lain dengan menggunakan bunyi-bunyi yang dikeluarkan oleh alat ujaran yang terdapat dalam tubuh mereka. Bunyi itu tersusun menurut hukum-hukum yang ada dalam sesuatu masyarakat pemakai bahasa tersebut, sehingga dapat melambangkan bukan sahaja buah fikiran yang sudah dan sedang dilahirkan, tetapi juga yang akan dilahirkan... (menulis intro ini teringat pula zaman menuntut ilmu Linguistik dengan Dr. Ton Ibrahim di UM lebih 25 tahun yang lalu...)

Tengah hari tadi, semasa membelek-belek buku di perpustakaan sambil memantau PPS bertugas, terjumpalah sebuah artikel dalam buku "Di Sekitar Persoalan Bahasa Melayu 1957 - 1972", (DBP) iaitu kumpulan karangan daripada Majalah Dewan Bahasa. Artikel tersebut bertajuk 'Bahasa dan Pendidikan Kanak-kanak (Prof Dr. Asmah Haji Omar).

Berikut ialah sedikit petikan daripada artikel tersebut....

Dari saat lahirnya, seseorang bayi itu sudah mengeluarkan bunyi dari mulutnya dalam bentuk tangisan. Ini adalah cara perhubungan antara bayi itu dengan ibunya atau orang-orang di sekitarnya - cara bayi itu menyatakan bahawa dia lapar, sakit, mengantuk dan sebagainya. Walau bagaimanapun, cara ini tidak dikatakan bahasa kerana tidak mempunyai pola yang teratur yang secara berulang dapat menyampaikan fikiran dan perasaan dengan setepat-tepatnya. Seseorang bayi baru boleh menghasilkan dan membezakan satu bunyi ujaran dari bunyi ujaran yang lain dalam hubungan dengan orang lain.

Kalau kita perhatikan perkembangan bahasa pada kanak-kanak, kita dapati bahawa bahasa itu boleh dibahagikan kepada dua jenis :-
1. Bahasa yang bertumpu pada diri sendiri, disebut bahasa egosentris (egocentric language)
2. Bahasa yang ditujukan kepada orang lain, disebut bahasa perhubungan (socialized language)

Dalam melahirkan bahasa jenis pertama itu, iaitu bahasa yang bertumpu pada diri sendiri, seorang kanak-kanak itu sama sekali tidak perlu pada orang di sekitarnya atau pada orang yang mendengarnya. Boleh jadi juga, dia tidak peduli apakah ada orang yang mendengarnya atau tidak. Dia bercakap kepada dirinya sendiri dan dia menghubungkan sesiapa sahaja yang ada berdekatannya dengan apa yang sedang dilakukannya, tetapi orang yang berkenaan itu hanya merupakan penonton. Penonton ini tidak diharapkan atau diminta ikut serta dalam percakapan itu.

Bahasa egosentris ini dilahirkan dengan tiga cara, iaitu :
1. Pengulangan
2. Monolog
3. Monolog tumpuan (dual or collective monologue)
Bahasa egosentris jenis pengulangan ini ialah percakapan kanak-kanak yang diulang terus-menerus.
Pengulangan itu berlaku pada kata atau suku kata, misalnya :
Ida nak mandi, man - man - man - di Ida nak mandi, man - man - man - di
Kanak-kanak itu mengulang tuturnya itu semata-mata kerana keseronokan. Dia tidak mempunyai sebarang maksud untuk menyampaikan fikirannya kepada sesiapa pun.
Sering kali, dia mengulang-ulang tuturnya itu dengan tidak mempunyai sebarang maksud untuk menimbulkan kata-kata yang mempunyai sesuatu makna, misalnya :
Ta - ta - ta - ta
Ini merupakan percakapan kanak-kanak yang sama sekali tidak mempunyai ciri-ciri sosial.

Kadang-kala anak-anak itu bercakap seorang diri, dan seperti yang dikatakan di atas tadi, dia menghubungkan butir percakapannya itu dengan orang yang ada dekatnya, sungguhpun orang itu tidak diajak bercakap dengannya. Percakapan yang semacam inilah yang disebutkan monolog tumpuan.

Dalam bahasa perhubungan, iaitu sosialized speech, kanak-kanak bertukar fikiran dengan orang lain dengan pelbagai cara:
1) Bercerita kepada pendengarnya tentang sesuatu yang boleh menarik minat dan mempengaruhi gerak-geri pendengarnya itu.
2) Bertengkar atau berbahas dengan orang lain.
3) Bekerjasama dengan orang lain untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu, misalnya dalam membetulkan permainan dan sebagainya.
4) Mengkritik perbuatan atau kelakuan orang lain. Dalam hal ini kanak-kanak itu memperlihatkan bahawa dia lebih besar dan lebih pandai daripada orang lain.
5) Meniru-niru orang lain, misalnya meniru orang lain bercakap,menangis dan sebagainya.
6) Memerintah, meminta atau mengancam. Dengan salah satu daripada cara-cara ini, kanak-kanak sengaja menimbulkan tindak balas daripada pihak lain.
7) Bertanya. Semua pertanyaan daripada kanak-kanak memelukan jawapan daripada orang lain. Pertanyaan yang seperti ini berlainan dengan pertanyaan daripada orang dewasa yang kadang-kala tidak memerlukan atau mengharapkan jawapan kerana jawapan itu sudah diketahui sendiri oleh orang yang bertanya.
8) Menjawab. Jawapan yang dimaksudkan di sini tidak perlu merupakan jawapan kepada sesuatu pertanyaan, tetapi boleh juga merupakan jawapan kepada sesuatu perintah.

Seperti yang dikatakan terlebih dahulu, bunyi pertama sekali keluar dari mulut manusia ialah tangisan, atau lebih tegas teriakan. Dalam alam haiwan dan alam orang-orang liar, teriakan biasanya diwujudkan bersama-sama dengan perbuatan-perbuatan lain, misalnya teriakan dilahirkan bersama dengan perasaan marah, mengancam dan sebagainya. Bentuk hubungan sosial yang paling tua memperlihatkan bahawa teriakan daripada seorang ketua apabila hendak menyerang musuhnya, difahami oleh pengikut-pengikutnya sebagai isyarat untuk menyerang. Dari situ, timbullah pendapat bahawa kata-kata yang mula-mula sekali dilahirkan oleh alat ujaran manusia ialah kata-kata untuk memerinsah.

Suku kata 'ma' yang diulang menjadi 'mama' yang dalam kebanyakan bahasa bererti 'emak' adalah antara tutur yang paling awal terbit daripada mulut manusia. Bunyi 'm' dihasilkan apabila bibir bawah menyentuh bibir atas, dan 'mama' itu tidak lain daripada bunyi yang dihasilkan apabila seseorang bayi itu terus menerus menghisap sesuatu.

Dengan ini dapat kita tafsirkan bahawa 'mama' pada mulanya ialah teriakan yang diwujudkan apabila bayi menginginkan sesuatu. Kemudian 'mama' ini berubah menjadi perintah yang ditujukan oleh bayi kepada satu-satunya manusia yang paling dekat dengannya dan yang dapat memenuhi keinginannya. Orang inilah yang kemudiannya dikenal oleh bayi itu sebagai 'mama', 'emak', 'mami' dan sebagainya.

Oleh itu, bagi seorang bayi, 'mama' atau 'emak' tidak harus bererti orang yang memeliharanya selama sembilan bulan di dalam kandungan dan kemudian melahirkannya, tetapi 'mama' atau 'emak' ialah orang yang sentiasa berada di sampingnya dan memenuhi kehendaknya sewaktu-waktu. Itulah sebabnya, kita dapati anak-anak angkat atau anak-anak yang dititip kepada orang lain untuk beberapa waktu dengan mudah sahaja memanggil orang yang memeliharanya itu 'emak', 'mama', dan sebagainya.

Saturday, 22 January 2011

Tulisan jawi dan bahasa Melayu



Tulisan Jawi (توليسن جاوي) ialah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi ialah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Nama-nama hari dalam tulisan Jawi
Isnin اثنين
Selasa ثلاث
Rabu رابو
Khamis خميس
Jumaat جمعة
Sabtu سبتو
Ahad احد

Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.

Kini amnya, tulisan jawi terhad penggunaannya dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi agama Islam, seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.